Martir mengikut agama Martir

Kristian

Rencana utama: Martir Kristian

Dalam agama Kristian, sejajar dengan erti asal martys dalam bahasa Yunani dalam Wasiat Baru, martir ialah seseorang yang membuat pengakuan, baik secara lisan mahupun bertulis, terutama sekali pengakuan akan Kitab Injil, atau secara amnya, firman Tuhan. Seorang saksi Kristian tetap saksi kitab tanpa mengenal nasibnya.[7] Namun demikian, lama-kelamaan ramai pengakuan Kristian ditolak dan saksi-saksinya dihukum mati, maka istilah martir mendapat erti katanya pada masa kini. Apabila berdepan dengan maut, saksi-saksi itu mencontohi Jesus dalam menggadaikan nyawa mereka demi kebenaran.

Pemahaman Jesus sebagai martir semakin mendapat perhatian akhir-akhir ini. Kupasan terhadap naratif-naratif keghairahan dalam kitab Injil telah membuat ramai ilmuwan membuat kesimpulan bahawa naratif-naratif itu merupakan kisah-kisah martir dari segi genre dan gaya.[8][9][10] Sesetengah ilmuwan itu juga membuat kesimpulan bahawa Paulus memahami kemangkatan Jesus sebagai kemartiran.[11][12][13][14][15][16] Berdasarkan kesimpulan-kesimpulan sedemikian, ada yang berhujah bahawa penganut Kristian pada abad-abad terawalnya pasti menganggap peristiwa penyaliban Jesus sebagai kemartiran.[5][17]

Mengikut konteks sejarah gereja, dari masa ke semasa penindasan penganut Kristian terawal di Empayar Rom, adalah semakin diterima bahawa martir ialah seseorang yang dibunuh kerana berpegang teguh pada sesuatu kepercayaan agama sambil menyedari bahawa ini hampir pasti akan mengundang ajal dengan cepat (biarpun tanpa sengaja mencari maut). Takrifan martir ini tidak terhad kepada agama Kristian. Saksi Kristian pertama yang dibunuh kerana pengakuannya ialah Santo Stephen (yang namanya bererti "mahkota"), dan mereka yang dimartirkan dikatakan juga "dimahkotakan."

Islam

Rencana utama: Syahid

Dalam bahasa Arab, martir bererti syahid, شهيد. Istilah syahid terdapat dalam al-Qur'an dalam pelbagai konteks, termasuk menyaksi kewajaran, menyaksi urus niaga kewangan dan dibunuh, walaupun akibat kemalangan asalkan tidak berlaku dengan niat untuk berdosa, maka mereka dianggap sebagai saksi kepada peristiwa-peristiwa duniawi sewaktu hidup walaupun tidak terlibat lagi (Surah Ali 'Imran, ayat 140). Istilah ini juga terdapat dengan pelbagai erti ini dalam hadis, iaitu sabda-sabda Nabi Muhammad s.a.w.

Hindu

Biarpun agama Hindu memupuk nilai ahimsa (tanpa keganasan), namun juga terdapat konsep kewajaran (dharma), yang mana keganasan diambil sebagai jalan penyelesaian setelah semua cara lain tidak berhasil. Contoh-contohnya terdapat dalam pustaka Mahabharata, yang mengisahkan para Pandava yang baru menghabiskan hukuman buang negeri dihalang daripada mengambil balik bahagian-bahagian negara mereka oleh sepupu mereka, Duruyodhana; setelah rundingan damai oleh Krishna, Vidura dan Sanjaya tidak berhasil. Sewaktu peperangan besar yang tercetus, Arjuna pun dibebani oleh keraguan, seperti ikatan, kepiluan, ketakutan dan sebagainya. Oleh itu, Krishna memesan Arjuna akan cara untuk menjalankan tugasnya sebagai pahlawan yang salih dan berjuang.